Kes Polio terbaru 2020 di Malaysia.



Terbaru seorang kanak-kanak berumur 3 tahun berasal dari sandakan telah disahkan dijangkiti Polio Virus, kanak-kanak terbabit tidak perna menerima vaksin polio sejak lahir, dan difahamkan budak tersebut bukan warganegara.

Ini menjadikan jumlah pengidap penyakit polio di Sabah sebanyak 4 kes, 3 kes yang melibatakan bukan warganegara.

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut kepada manusia.




Kes polio terakhir di Malaysia adalah pada tahun 1992. Sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region) telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, pada 6 Disember 2019, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio.(Pada tahun 2020 Sabah telah mencatatkan 4 kes polio).

Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio kerana terdapat negara di dunia ini yang belum bebas dari penyakit polio. Sekiranya terdapat pengembara yang dijangkiti virus polio dari negara terbabit masuk ke kawasan di negara ini yang ramai ahli masyarakatnya tidak mendapatkan imunisasi polio, maka risiko virus ini merebak adalah tinggi. Penularan ini akan lebih mudah berlaku sekiranya kebersihan diri tidak dijaga dan persekitaran kotor.

Risiko jangkitan virus polio kepada pengembara yang mengunjungi Negeri Sabah adalah rendah. Walau bagaimanapun, langkah pencegahan perlu sentiasa diamalkan seperti kebersihan diri dan persekitaran, mencuci tangan selepas ke tandas dan makan di premis atau restoran yang bersih.


Individu yang tiada sejarah pelalian polio lengkap adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;

Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas mengendalikan kes dijangkiti polio buang air besar termasuk selepas menukar lampinnya.
Tidak menggunakan bekalan air bersih.
Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.
Mengendalikan spesimen makmal virus polio.




Virus polio menjangkiti manusia secara fekal-oral. Virus dalam najis kes yang dijangkiti polio memasuki tubuh melalui beberapa cara seperti:=

Memakan makanan dan / atau minuman tercemar.
Tangan tercemar dan menyentuh mulut tanpa mencuci tangan dengan sempurna.
Apabila objek seperti mainan tercemar dimasukkan ke dalam mulut.
Apabila virus ini masuk ke dalam badan, ia akan membiak dalam usus. Ia kemudiannya dikumuhkan melalui najis dan menjangkiti orang lain melalui cara di atas. Individu yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang lain walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.



Kebanyakan orang yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya 1 daripada 4 orang dengan jangkitan virus polio akan mengalami gejala demam selesema. Gejala-gejala ini biasanya dialami selama dua (2) hingga lima (5) hari dan kemudian sembuh dengan sendiri tanpa sebarang komplikasi. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kes akan mengalami gejala lebih serius akibat jangkitan pada otak dan saraf tunjang seperti:

Kebas
Meningitis iaitu keradangan pada selaput otak
Lumpuh
Kematian





Vaksin polio yang diberi secara oral (OPV) mengandungi virus polio yang dilemahkan (attenuated). Apabila kanak-kanak diimunisasi dengan OPV, virus yang lemah ini akan berada di dalam usus dan mengaktifkan tindak balas imun dalam badan. Pada masa yang sama, virus ini dikumuhkan dalam najis.

Virus yang dikumuhkan ini akan tersebar dari seorang ke seorang dalam masyarakat yang tidak mendapatkan imunisasi polio lengkap. Dalam proses virus ini menular, ia boleh mengalami perubahan genetik, menjadikan virus polio ini menyebabkan jangkitan polio. Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV).


Sejak tahun 2000, lebih 10 bilion dos OPV telah diberikan kepada hampir 3 bilion kanak-kanak di seluruh dunia. Kesannya, lebih daripada 10 juta kes polio telah dicegah dan lebih daripada 99% insiden polio telah dikurangkan. Walau bagaimanapun, pemberian OPV ini telah menyebabkan kurang daripada 800 kes VDPV dalam tempoh 15 tahun (0.08 kes / 10 juta dos OPV).
Risiko VDPV dengan penggunaan OPV adalah kecil berbanding dengan manfaat kesihatan awam yang besar.



Cara terbaik untuk melindungi diri daripada jangkitan polio adalah dengan mendapatkan vaksin polio. Di Malaysia, vaksin polio diberi sebanyak empat (4) dos secara kombinasi bersama vaksin difteria, pertussis, tetanus dan Haemophilus influenzae type b (Hib) kepada kanak-kanak yang berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Vaksin ini diberi secara percuma untuk warganegara di semua fasiliti kesihatan kerajaan dan caj minima dikenakan bagi bukan warganegara.

Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran.



OPV digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (National Immunization Programme - NIP) sejak tahun 1972. Pada tahun 2008, OPV ditukar kepada inactivated poliovirus vaccine (IPV) yang diberi secara suntikan. Ia bagi mencegah kejadian vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan vaccine-associated polio paralysis (VAPP).



Vaksin polio IPV adalah selamat dan berkesan untuk diberi kepada kanak-kanak bagi mencegah penyakit polio.

Kebanyakan kanak-kanak yang menerima vaksin polio IPV tidak mengalami kesan sampingan. Kesan sampingan yang berlaku adalah ringan seperti kemerahan dan kesakitan di tempat suntikan. Ia sembuh tanpa rawatan.



Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), penyakit polio wajib dinotifikasi dalam tempoh 24 jam. Pemantauan kes dengan gejala menyerupai polio iaitu acute flaccid paralysis (AFP) dijalankan ke atas kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun. Sebanyak dua (2) sampel najis diambil daripada kes AFP dalam tempoh 14 hari paralisis dan diuji di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). IMR adalah Makmal Rujukan Polio Kebangsaan bagi menjalankan ujian pengesanan virus polio.

KKM juga memantau kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui pensampelan air kumbahan di beberapa loji rawatan air kumbahan yang terpilih sejak tahun 2012. Sehingga kini, tiada WPV atau VDPV dikesan.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang ramai untuk:

Memastikan anak-anak mendapatkan vaksinasi polio yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Membawa kanak-kanak yang cicir imunisasi ke fasiliti kesihatan yang terdekat.
Mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat sekiranya mengalami gejala AFP.
Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas keluar tandas dan selepas menukar lampin pakai buang serta menjaga kebersihan persekitaran.
Menyediakan makanan secara bersih dan selamat, termasuk membasuh ulam-ulaman atau sayur-sayuran yang dimakan mentah dengan air bersih, minum air yang telah dimasak serta memilih premis makanan yang bersih.



sumber KKM



Comments

Popular posts from this blog

China Menyalurkan Bantuan Kepada Malaysia

A Quiet Place 2’ Release Postpone Due To Coronavirus Outbreak